Friday 29 August 2014

Isu Kesantunan - Merokok Dalam Kalangan Remaja

   Di seluruh dunia, 4 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan penggunaan tembakau dan menjelang penghujung tahun 2020, dianggarkan kadar kematian akan mencecah 10 juta orang. Fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menyatakan setiap hari, lebih kurang 45 hingga 59 remaja di bawah umur 18 mula merokok di negara kita. Jumlah remaja lelaki yang merokok berusia 12 hingga 18 tahun pula adalah sebanyak 30 peratus. Sementara itu, bilangan remaja perempuan yang merokok semakin bertambah. Dalam tahun 2000 dan 2004, bilangan remaja perempuan yang merokok telah bertambah dari 4 peratus ke 8 peratus.

    Usia remaja merupakan fasa yang paling sensitif kepada permulaan tingkah laku merokok. Perubahan demi perubahan dalam diri remaja bersama transisi zaman kanak-kanak ke alam dewasa membawa kepada pelbagai keinginan untuk mencuba perkara-perkara yang baru termasuklah merokok. Penggunaan rokok dalam usia remaja dilihat sebagai tingkah laku untuk bereksperimen sebelum remaja tersebut kekal menjadi perokok apabila dewasa.



      Remaja menjadikan tingkah laku tertentu seperti merokok ini sebagai tunjang kepada identiti kumpulan mereka. Jika status perokok dan bukan perokok dilihat penting dalam menentukan identiti sosial kumpulan, maka ahli-ahli sesebuah kumpulan selalunya akan berkongsi tingkah laku yang sama. Ideanya ialah akan terdapat kumpulan-kumpulan remaja yang boleh dikategorikan sebagai kumpulan merokok dan tidak merokok. Proses sosialisasi mempengaruhi pembentukan tingkah laku dan personaliti remaja. Proses ini membolehkan seseorang itu mengenal diri sendiri dan mempelajari apa yang dipercayai oleh orang lain di sekelilingnya, dan mempelajari bagaimanakah cara bertingkah laku yang bersesuaian (Musgrave, 1988). Melalui proses inilah, individu belajar tentang nilai dan norma dalam budaya. Individu akan terdorong untuk mengikuti perkara-perkara yang dianjurkan oleh budaya masyarakat di sekeilingnya. Sosialisasi juga membolehkan individu mengenal dirinya dan belajar menempatkan dirinya dalam masyarakat.

 
    Penglibatan awal remaja dalam tingkah laku merokok juga berkait dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan gangguan kepada kadar kolesterol. Jika tingkah laku merokok berlarutan sehingga dewasa, tabiat ini akan meningkatkan risiko pembentukan awal penyakit kardiovaskular. Kebimbangan kepada pertambahan jumlah perokok di negara kita, membawa kepada usaha kerajaan melancarkan Kempen Tak Nak iaitu kempen kesedaran yang disasarkan kepada golongan remaja pada 9 Februari 2004. YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di perasmian kempen tersebut menganjurkan agar golongan dewasa dapat memberi teladan dengan berhenti merokok.


      Ibu bapa dan keluarga perlu menyedari keunggulan jiwa dan kekuatan remaja untuk tidak terlibat dengan tabiat merokok, sangat bergantung dengan pendekatan dan tingkah laku seharian isi rumah. Dan perkara ini bermula daripada pendidikan isi rumah. Keluarga perlu mempunyai maklumat dan kesedaran tentang bahaya merokok dan melihat tingkah laku tersebut lebih daripada perspektif budaya dan kesihatan.

No comments:

Post a Comment